Menu

Wednesday, 19 February 2014

Tak Dak Sapa Yang Tanya, Saya Sendiri Yang Nak Jawab


liberal-islam-charles-kurzman
Golongan liberal sebenarnya sayangkan Islam namun ada beberapa fahaman mereka yang perlu diteliti. Namun dalam masa yang sama, golongan ulama’ harus juga memerhatikan apakah hujjah yang dikemukakan oleh mereka.”
Tidak, golongan Islam Liberal tidak sayangkan Islam. Mereka menggunapakai faham Islam melalui pandang sarwa Barat seraya mengkritik nas-nas al-Qur’ān yang jelas. Mereka didanai oleh yayasan-yayasan yang anti-Islam dan memegang objektif untuk de-Islamisasi masyarakat dari setiap sudut terutama dalam aspek ‘aqidah. Ulama’ lampau seperti al-Ghazali sudah lama mematahkan hujjah golongan Islam Liberal, namun hari ini golongan Islam Liberal didanai oleh Barat dalam memerangi semula pemikiran umat Islam terutama sekali selepas peristiwa 11 September. Kekuatan mereka dalam aspek material mematahkan kelemahan umat Islam dalam aspek faham ‘aqidah yang sebenar.
Saya lupa siapa tokoh SIS, namun beliau sentiasa menekuni ayat al-Quran setiap kali sebelum tidur. Ini bermakna, beliau cuba memahami Islam dan memperjuangkannya.”
Saya menekuni ayat-ayat al-Qur’ān juga, namun tanpa guru-guru saya yang pakar dalam tafsir al-Qur’ān, mana mungkin saya faham dengan maksud sebenar ayat al-Qur’ān tersebut. Golongan Islam Liberal memang menekuni al-Qur’ān, tapi mereka membaca terjemahannya sahaja! Lalu mereka mendakwa diri mereka boleh mentafsir al-Qur’ān sewenang-wenangnya seraya mengutuk ulama’-ulama’ lain akibat hukum-hakam Islam yang tidak selari dengan hawa nafsu mereka.
Kami pendakwah, bukan penghukum. Beza seorang pendakwah dengan ahli fiqh ialah, pendakwah melihat semua orang berpotensi untuk difahamkan tentang Islam, dan pendakwah melihat semua orang dengan penuh kasih sayang. Manakala ahli fiqh melihat sesuatu lalu menghukumnya dengan lima genre sama ada haram, wajib dan sebagainya.”
Mengatakan sesuatu yang halal itu haram atau sesuatu yang haram itu halal adalah haram, mengatakan sesuatu yang haram itu haram dan halal itu halal adalah wajib! Penda‘wah juga kena tahu bezakan yang mana halal dan haram. Mana mungkin penda‘wah namanya penda‘wah tetapi tidak dapat bezakan yang halal dan haram. Penda‘wah juga mesti berjihad. Persoalan ini sudah masuk dalam bab jihad. RasuluLlah SAW sangat berlembut dalam da‘wah baginda tetapi sangat keras dalam jihad sehingga Sahabat iaitu Ka’ab bin Malik dikenakan ‘hukuman’ yang cukup keras akibat meringan-ringankan jihad!
Saya sebenarnya telah membaca beberapa pandangan Islam Liberal. Yang paling menakutkan ialah apabila seorang tokoh mereka menyatakan tidak pernah wujud istilah Syariah Islamiah. Tidak pernah wujud Syariah Islamiah sebenarnya, kerana syariah tidak pernah Islamiah. Lalu beliau kemukakan beberapa bukti yang kukuh nampaknya, selain mempertikaikan beberapa perundangan yang wujud dalam Islam. Namun beliau bukan mengkritik Islam, sebaliknya mengkritik fahaman ulama berkaitan Islam.”
Salah sama sekali! Golongan Islam Liberal mengutuk ‘aqidah dan syari‘at yang dibawa Islam. Mereka sengaja menggunakan nama ulama’-ulama’ tertentu sebagai ‘umpan’ masyarakat umum untuk menunjukkan bahawa yang dikutuk itu adalah manusia biasa. Mereka ini juga menghina RasuluLlah SAW dan mempertikaikan al-Qur’ān dan al-Sunnah. Kita kena kenal dulu golongan Islam Liberal daripada akarnya, bukan dengan mudah menilai golongan ini melalui bacaan-bacaan ringan lalu meletakkan mereka ini sebaris dengan orang-orang yang faham Islam.
Usul ini menunjukkan Pas sebagai extreme parti. Orang non-muslim akan takut dengan Islam jika begini. Saya lihat Pas belum lahirkan group dakwah yang mampu berhujah dengan baik, maka di mana peranan dewan ulama jika begitu?”
Ini bukan persoalan internal management PAS, tetapi pendirian umat Islam terhadap golongan sesat fahaman Islam Liberal. Menyalahkan gerakan lain sehingga tidak melihat gerakan sendiri seolah-olah meludah ke langit dan diludah ke muka sendiri oleh orang lain. Tidak ada orang non-muslim yang takut dengan Islam jika umat Islam mengharamkan sesuatu yang sememangnya haram. Apa yang dinilai adalah kebenaran atas keilmuan yang sahih lagi benar, bukan apa pandangan masyarakat terhadap kebenaran yang dibuat. Kita sering risau pandangan orang lain terhadap Islam jika usul ini direalisasikan, tetapi kita tidak risau jika SIS dengan pantas menganjurkan program-program sesat yang mengutuk Islam secara terang-terangan! Di mana akidah kita?
Saya tak bersetuju jika Pas ingin mengharamkan SIS, ia menghalang kebebasan bersuara tentunya, namun itu bukan faktor utama. Faktor utama, saya melihat Pas telah menunjukkan mereka sebagai Parti menghukum bukan gerakan dakwah, kedua, Pas menunjukkan ciri-ciri masih belum bersedia untuk memimpin. Apabila mereka tidak mampu menghalang SIS, mereka membuat resolusi mengharamkan, ini ‘kuku besi’.
Kebebasan bersuara dalam Islam wajib menurut al-Qur’ān dan al-Sunnah, bukan kebebasan bersuara mengutuk Islam secara terang-terangan yang dilakukan oleh SIS. Kebebasan bersuara sebegitu adalah mengikut acuan Barat – sekular-liberal! PAS tidak menghukum kerana PAS langsung tiada kuasa untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan di Malaysia. Dalam soal hudud juga, PAS tiada kuasa untuk menjalankan hudud kerana hudud adalah hak mutlak pemimpin Islam. Mana mungkin jiran saya mencuri saya memotong tangannya sesuka hati. Hanya pemimpin Islam yang berkuasa menjalankan hudud. Sama juga dalam konteks pengharaman SIS. Dalam konteks SIS, sepatutnya pertubuhan Islam menyeru supaya pihak yang berkuasa menyiasat dan mengharamkan ajaran sesat Islam Liberal dalam SIS, bukan pertubuhan tersebut.
Di mana Deedat dalam PAS?”
Di mana Deedat dalam kamu? Jangan mempersoalkan batang tubuh seseorang pemikir Islam yang lampau, tetapi persoalkan keilmuan dalam diri para penda‘wah di Malaysia. Deedat terbukti berkesan dalam da‘wah kepada non-muslim. Namun, dengan hanya mempertikaikan “di mana Deedat” untuk membantah suara kebenaran daripada sesebuah pertubuhan bukanlah sesuatu yang bijak. Bukan setakat membuka pekung di dada, malah perbuatan ini seperti melondeh seluar di khalayak ramai!
Kesimpulan, SIS seperti nyamuk. Ada yang digigit nyamuk lalu secara lemah-lembut menghalau nyamuk kerana dia percaya nyamuk adalah makhluk Allah SWT. Ada juga yang digigit nyamuk lalu menamparnya sehingga mati kerana khuatir nyamuk tersebut akan menggigit orang lain lalu menimbulkan penyakit atau wabak yang berbahaya. Malah ada juga yang digigit nyamuk lalu segera bangun dan mencari di mana tempat pembiakan nyamuk seraya menghapuskan kesemuanya kerana khuatir masyarakat sekitar akan dijangkiti penyakit atau wabak yang berbahaya tersebut!
Ini persoalan adab dalam berda‘wah. Variasi dalam da‘wah seharusnya dihormati sebagai jalan-jalan menuju kepada keberkesanan penyampaian kebenaran. Dengan mempertikaikan uslub orang lain yang berda‘wah walhal gerak kerja da‘wah sendiri masih lagi bertatih, mengeruhkan lagi masa depan da‘wah Islamiyyah di Malaysia. Semua gerakan da‘wah mempunyai mad‘u dan pintu-pintu yang bervariasi, maka pertahankanlah akidah Islam melalui pintu-pintu yang kamu jaga tersebut.
Jangan sesekali memberi pendapat tentang kesesatan fahaman Islam Liberal sedangkan kamu bukan ahlinya!
Maka, jangan sesekali cuba menghalang saya untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk tersebut dengan cara tersendiri!
[Koordinator Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL)]

No comments:

Post a Comment